Ketika Minggu Orientasi, seorang pelajar tempatan telah dipilih bagi membuat sebuah pembentangan separa formal kepada sekumpulan pelajar asing yang baru mendaftar tentang baju kurung, salah satu pakaian tradisional masyarakat Malaysia.
Teks Sumber
Baju Kurung: Sejarah dan Latar Belakang
Asal usul dan sejarah pemakaian baju kurung
sangat sukar ditentukan. Persoalan tentang siapa yang mula-mula menghasil dan
memakainya timbul kerana baju kurung dalam bentuk asalnya telah dipakai oleh
pelbagai etnik di wilayah Nusantara. Berdasarkan maklumat dalam Archjadi Judi
(1986), baju kurung telah diperkenalkan di Indonesia oleh pedagang Islam dan
India. Walau bagaimanapun, potongan baju ini juga dipercayai telah menerima
pengaruh Timur Tengah seperti potongan leher berbentuk tunik, iaitu bentuk
leher yang mula-mula dipakai oleh orang Arab zaman silam.
Semasa Zaman Kesultanan Melayu Melaka pula,
penduduknya telah mempunyai pakaian mereka sendiri, iaitu pakaian baju kurung
Melayu asal. Berbeza daripada baju kurung sekarang yang longgar dan labuh, baju
yang dipakai oleh mereka ketika itu dalam keadaan ketat dan singkat.
Berdasarkan maklumat Sejarah Melayu, Tun Hassan Temenggung merupakan orang
pertama mengubah suai bentuk baju kurung asal kepada bentuk baju Melayu yang
dipakai kini.
Mohd. Said (1931) menyatakan pakaian baju kurung
sekarang berasal dari Johor semasa pemerintahan Almarhum Sultan Abu Bakar pada
tahun 1800 di Teluk Belanga, Singapura. Seorang pengkaji sejarah pakaian
dan tekstil, Gettinger (1979) pula telah menyatakan baju kurung merupakan
pakaian yang dipakai oleh penari istana di Palembang. Beliau juga
menyatakan pakaian tersebut popular di Sumatera pada abad ke-20. Tenas Effendy
(1989) telah mengumpul ungkapan orang tua di daerah Riau, daerah rumpun Melayu
yang terdekat dengan Malaysia (Semenajung Tanah Melayu) tentang baju kurung.
Baju kurung yang digambarkan oleh beliau ialah baju kurung teluk belanga atau
baju kurung yang dijahit dengan jahitan tulang belut di bahagian leher yang
nampak halus dan rapi. Pakaian ini merupakan pakaian wanita yang bersopan dan
juga pakaian setiap ahli dalam golongan masyarakat untuk pelbagai majlis dan
adat.
Mengikut Siti Zainon (2006) pula, baju kurung
ialah pakaian yang popular di kalangan orang Melayu. Pakaian ini merujuk kepada
pola panjang untuk baju wanita, manakala pola pendek untuk baju lelaki. Baju
kurung mempunyai ciri khusus yang membezakannya dengan pakaian lain.
Pengertian kurung mempunyai persamaan dengan konsep pakaian menutup anggota
tubuh. Ciri ini didapati menepati dengan konsep cara Melayu selepas kedatangan
Islam. Beliau juga telah mendapati pelbagai jenis kurung mendapat inspirasi
daripada baju kurung, antaranya ialah Kurung Kedah, Kurung Cekak Musang, Kurung
Teluk Belanga dan Kurung Pesak Gantung. Kini baju kurung yang labuh paras lutut
hanya disebut sebagai baju kurung sahaja dan telah dikhususkan untuk pakaian
wanita.
Dari segi sejarah pula, baju kurung lelaki dan
wanita pada asalnya dinamakan baju kurung teluk belanga. Nama itu diambil
daripada nama suatu tempat di Teluk Belanga, Singapura, sempena pemakaian baju
tersebut oleh Sultan Abu Bakar semasa bersemayam di sana. Nama baju itu diberi
berasaskan perubahan oleh baginda, khususnya daripada segi potongan yang lebih
anggun dan jahitan yang lebih halus dengan memperkenalkan jahit tangan tulang
belut di bahagian leher dan sembat di bahagian kelim dan kelepet.
No comments:
Post a Comment