Friday, 29 November 2013

Terjemahan Pandang BM-BI: Teks Ekonomi

Situasi

Seorang pakar dalam bidang ekonomi telah dijemput bagi memberikan suatu ceramah tentang ekonomi kepada sekumpulan pelajar Tingkatan 4 dan 5 yang mengambil subjek Ekonomi.

Teks Sumber

Pasaran Bebas adalah ekonomi pasaran yang berasakan permintaan dan penawaran dengan sedikit atau tiada kawalan kerajaan. Pasaran bebas sepenuhnya adalah bentuk pasaran yang sempurna dimana pembeli dan penjual berinteraksi secara bebas ( jual, beli, berdagang) berdasarkan perjanjian diantara satu sama lain tanpa campurtangan kerajaan dalam bentuk percukaian, subsidi atau sebarang peraturan. 

Dalam pasaran kewangan pula, stok pasaran bebas adalah sekuriti yang didagangkan secara luas dan harganya tidak dipengaruhi oleh penawaran. 
Dalam pasaran pertukaran asing pula, kadar tukaran tidak ditambat oleh kerajaan dan dengan itu perubahan harga adalah berdasarkan penawaran dan permintaan untuk sesuatu matawang.  

Dalam lain perkataan, pasaran bebas adalah terma yang merumuskan pelbagai pertukaran yang mengambiltempat dalam masyarakat. Setiap pertukaran adalah perjanjian diantara dua atau lebih pihak secara sukarela yang berdagang dalam bentuk barangan atau perkhidmatan. Dalam realiti, ini adalah sejauhmana pasaran bebas boleh wujud kerana akan sentiasa ada campurtangan oleh kerajaan dalam bentuk percukaian, kawalan harga, dan larangan yang menghindari pesaing baru daripada memasuki pasaran. Seperti juga ekonomi belah pemborong, pasaran bebas adalah terma yang digunakan untuk mengambarkan politik atau ideologi pandangan terhadap polisi dan bukanlah suatu bidang didalam ekonomi. 

Dalam teori Marxis, idea pasaran bebas adalah hasil transisi feudalisme kepada kapitalisme. Walaubagaimana pun pandangan terhadap kewujudannya samada melalui implementasi (kerajaan) atau semulajadi tidak semestinya berkait dengan pendirian pro-pasaran mahupun anti-pasaran. Libertarian cenderung untuk mempertikaikan bahawa pasaran bebas terhasil implikasi daripada campurtangan polisi kerajaan, memandangkan mereka percaya bahawa ia adalah aturan spontan dan Marxis pula bersetuju dengan mereka kerana mereka juga percaya bahawa ia adalah hasil daripada evolusi (walaupun dengan matlamat berbeza).

Sokongan supaya pasaran bebas dijadikan penentu asas masyarakat merupakan fahaman asas liberalisme, khususnya pada abad ke-19. Di Eropah terma liberalisme masih membawa konotasi idelogi pasaran bebas, namun di Amerika dan Kanada konotasinya adalah dikaitkan dengan campurtangan kerajaan dan pengunaannya adalah disamaertikan dengan Kapitalisme. Di Eropah terma pasaran bebas masih difahami sebagai terma yang neutral. Liberalisme moden (pemakaian Amerika dan Kanada), dan demokrasi sosial Eropah, hanya berusaha untuk mengurangkan apa yang dilihat sebagai permasalahan yang diwujudkan oleh pasaran bebas yang tidak terkawal.

Bagi kebanyakan libertarian, masih belum ada lagi pasaran bebas yang sempurna, memandangkan campur tangan masih wujud dalam negara-negara yang paling kapitalis sekalipun. Pada pandangan mereka, pihak-pihak yang mengaku mengamalkan pasaran bebas sebenarnya mendakwa secara relatif dan bukanya secara mutlak. Ini bererti mereka mahukan ¨paksaan¨ (definisi libertarian) dihadkan seminima mungkin untuk memaksimumkan kebebasan ekonomi dan keberkesanan pasaran dengan mengurangkan halangan perdagangan.


(Sumber teks)






Thursday, 7 November 2013

Teks Umum: Fesyen (BM-BI)

Situasi:

Ketika Minggu Orientasi, seorang pelajar tempatan telah dipilih bagi membuat sebuah pembentangan separa formal kepada sekumpulan pelajar asing yang baru mendaftar tentang baju kurung, salah satu pakaian tradisional masyarakat Malaysia.

Teks Sumber

Baju Kurung: Sejarah dan Latar Belakang


Asal usul dan sejarah pemakaian baju kurung sangat sukar ditentukan. Persoalan tentang siapa yang mula-mula menghasil dan memakainya timbul kerana baju kurung dalam bentuk asalnya telah dipakai oleh pelbagai etnik di wilayah Nusantara. Berdasarkan maklumat dalam Archjadi Judi (1986), baju kurung telah diperkenalkan di Indonesia oleh pedagang Islam dan India. Walau bagaimanapun, potongan baju ini juga dipercayai telah menerima pengaruh Timur Tengah seperti potongan leher berbentuk tunik, iaitu bentuk leher yang mula-mula dipakai oleh orang Arab zaman silam.
Semasa Zaman Kesultanan Melayu Melaka pula, penduduknya telah mempunyai pakaian mereka sendiri, iaitu pakaian baju kurung Melayu asal. Berbeza daripada baju kurung sekarang yang longgar dan labuh, baju yang dipakai oleh mereka ketika itu dalam keadaan ketat dan singkat. Berdasarkan maklumat Sejarah Melayu, Tun Hassan Temenggung merupakan orang pertama mengubah suai bentuk baju kurung asal kepada bentuk baju Melayu yang dipakai kini.

Mohd. Said (1931) menyatakan pakaian baju kurung sekarang berasal dari Johor semasa pemerintahan Almarhum Sultan Abu Bakar pada tahun 1800 di Teluk Belanga, Singapura.  Seorang pengkaji sejarah pakaian dan tekstil, Gettinger (1979) pula telah menyatakan baju kurung merupakan pakaian yang dipakai oleh penari istana di Palembang.  Beliau juga menyatakan pakaian tersebut popular di Sumatera pada abad ke-20. Tenas Effendy (1989) telah mengumpul ungkapan orang tua di daerah Riau, daerah rumpun Melayu yang terdekat dengan Malaysia (Semenajung Tanah Melayu) tentang baju kurung. Baju kurung yang digambarkan oleh beliau ialah baju kurung teluk belanga atau baju kurung yang dijahit dengan jahitan tulang belut di bahagian leher yang nampak halus dan rapi. Pakaian ini merupakan pakaian wanita yang bersopan dan juga pakaian setiap ahli dalam golongan masyarakat untuk pelbagai majlis dan adat.

Mengikut Siti Zainon (2006) pula, baju kurung ialah pakaian yang popular di kalangan orang Melayu. Pakaian ini merujuk kepada pola panjang untuk baju wanita, manakala pola pendek untuk baju lelaki. Baju kurung mempunyai ciri khusus yang membezakannya dengan pakaian lain.  Pengertian kurung mempunyai persamaan dengan konsep pakaian menutup anggota tubuh. Ciri ini didapati menepati dengan konsep cara Melayu selepas kedatangan Islam. Beliau juga telah mendapati pelbagai jenis kurung mendapat inspirasi daripada baju kurung, antaranya ialah Kurung Kedah, Kurung Cekak Musang, Kurung Teluk Belanga dan Kurung Pesak Gantung. Kini baju kurung yang labuh paras lutut hanya disebut sebagai baju kurung sahaja dan telah dikhususkan untuk pakaian wanita.

Dari segi sejarah pula, baju kurung lelaki dan wanita pada asalnya dinamakan baju kurung teluk belanga. Nama itu diambil daripada nama suatu tempat di Teluk Belanga, Singapura, sempena pemakaian baju tersebut oleh Sultan Abu Bakar semasa bersemayam di sana. Nama baju itu diberi berasaskan perubahan oleh baginda, khususnya daripada segi potongan yang lebih anggun dan jahitan yang lebih halus dengan memperkenalkan jahit tangan tulang belut di bahagian leher dan sembat di bahagian kelim dan kelepet.